Ucapan Respon Terhadap Fatwa Negeri Sarawak
BismillahirahmaniRrahiM
Alhamdulillahi robbil ‘alamiin
Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa aali Muhammad al aimmah wal Mahdiyiin wal salim taslima
Assalamualaikum wr wb dan salam sejahtera,
Kami dari Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya atau The Ahmadi Religion of Peace and Light, sekali lagi, ingin mengucapkan tahniah dan kepada kerajaan Malaysia khususnya kerajaan negeri Sarawak, kerana pada 10 April 2026, kerajaan negeri Sarawak, melalui Majlis Agama Islam Sarawak, telah menyertai pasukan burung kakak tua dengan mengeluarkan “fatwa hukum” bahawa ajaran Ahmadi Agama Keamanan, adalah sesat dan perlu disekat, berkuatkuasa pada 5 Februari 2026.
Fatwa yang dikeluarkan ini hanyalah tambahan kepada siri fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh beberapa negeri lain di Malaysia bagi mematuhi fatwa di peringkat nasional yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Fatwa ini menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia dengan “kuku dan taringnya” adalah penentang keras terhadap Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya dan menzahirkan lagi hipokrasi kerajaan Malaysia yang amat menjijikkan.
Dengan sombongnya, seperti “musang berjanggut”, Malaysia mendabik dada sambil menghina dan merendahkan martabat intelektualiti rakyatnya sendiri dalam menentukan dan memilih sendiri aqidah, agama serta kepercayaan masing-masing.
Frasa “musang berjanggut” adalah suatu pepatah Melayu yang ditujukan kepada pihak yang menyamar atau berpura-pura baik, alim atau jujur, tetapi sebenarnya mempunyai niat buruk dan licik.
Para ulamak Malaysia dengan egonya, tanpa malu dan takutkan Tuhan, telah menentang keras dan melanggar firman Allah SWT yang menitahkan orang-orang beriman agar;
Mendengar semua pendapat, lalu memilih yang terbaik, sebagaimana dinyatakan dalam ayat 18, surah Az-Zummar dan
Tiada paksaan dalam agama, yang ditegaskan dalam ayat 256, surah Al- Baqarah.
Kerajaan “musang berjanggut” ini telah menolak mentah-mentah sunnah Nabi Muhammad SAWAS yang meraikan kepelbagaian pendapat dan menjulang kebebasan beragama.
Ya, merekalah yang demi agenda dan kepentingan politik, telah menulis fatwa yang bercanggah dengan perintah Tuhan. Mereka menulis sendiri segala hukum dan perundangan dalam negara mereka dan mengubahnya demi kepentingan kuasa dan takhta.
Malah, perundangan syariah mereka terutamanya berkaitan jenayah syariah, langsung tidak berlandaskan apa yang ditetapkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAWAS, sebaliknya segalanya adalah ciptaan dan olahan para ulamak Islam atas nama ta’zir.
Fatwa zalim mereka menjadikan Malaysia, negara yang kononnya mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi tetapi hakikatnya menghina dan mengkhianati Islam dan artikel 18, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menegaskan bahawa;
“Setiap orang berhak memiliki kebebasan berfikir, kesedaran dan beragama; dan ini termasuk kebebasan untuk menukar agama dan kepercayaan…..”
Kami ingin juga memperingatkan kerajaan Malaysia dengan ayat 99, surah Yunus,
"Maka apakah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?"
Ayat ini menegaskan bahawa bahkan Nabi Muhammad SAWAS sendiri tidak diberi kuasa oleh Allah SWT untuk memaksa keimanan ke atas manusia.
Mengapakah begitu? Ia adalah kerana beragama dan beramal tanpa keikhlasan tidak diterima oleh Allah SWT.
Kerana itu juga Nabi Muhamamd SAWAS telah bersabda,
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat…”
Apakah seseorang itu mampu mencapai niat yang tulus ikhlas dalam beragama dan beribadah jika dia dipaksa menganuti agama yang dia tidak redhoi dan diyakininya sebagai agama yang bathil?
Bagi manusia yang bertaqwa dan mengharapkan keredhoan Tuhan, memilih agama yang diyakini benar adalah perkara yang paling penting dan syarat utama bagi mencapai kejayaan dan keselamatan dunia dan akhirat.
Ironinya, kerajaan Malaysia melalui Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) tahun 2019, telah memberikan hak kepada rakyat Malaysia yang berusia seawal 18 tahun untuk mengundi di dalam pilihanraya bagi memilih ahli-ahli politik yang mereka yakini terbaik untuk memimpin negara.
Malangnya, bagi rakyat Malaysia yang dilahirkan dalam keluarga Muslim, mereka sejak dilahirkan lagi didaftarkan secara automatik dan paksa sebagai beragama Islam bermazhabkan Ahlul Sunnah wal Jamaah.
Mereka dinafikan hak untuk mengkaji dan memilih agama pilihan mereka yang mereka yakini adalah agama yang sebenar dari Tuhan.
Tindakan kerajaan Malaysia mengharamkan dan berusaha untuk menyekat semua saluran media kami dan buku Matlamat sang Bijaksana atau The Goal of the Wise oleh pimpinan kami Abdullah Hashem Aba Al Sadiq a.s, malah menangkap dan memenjarakan ahli-ahli kami, dilihat sebagai tindakan yang amat kejam.
Malah, dari aspek ini, tindakan kerajaan Malaysia ini dilihat sebagai lebih zalim dari apa yang telah dilakukan oleh Firaun l.a, di mana Firaun l.a telah berlapang minda dan terbuka untuk membuka pintu istananya bagi menerima kunjungan Musa a.s dan Harun a.s serta memberikan ruang dan peluang kepada Musa a.s berhujah dan berdebat dengannya secara terbuka di hadapan para pembesar, pegawai istana dan keluarganya.
Namun begitu, biarpun sejuta fatwa dikeluarkan dan sejuta tembok pagar menghalangi risalah dakwah kami, cahaya kebenaran ini akan tetap memasuki setiap rumah dan hati manusia yang ikhlas menyayangi Tuhan dan dambakan kebenaran hakiki.
Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah Ayat 32:
"Mereka berkehendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir itu tidak menyukai."
Maka, silakan merancang dan bertindak kejam ke atas kami, kerana itu semua hanya akan mempercepatkan lagi kemenangan yang dijanjikan kepada kami kerana kami bersama Allah SWT, Imam Al-Mahdi dan para Mahdi alaihumsalam di zaman ini.
Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali 'Imran, Ayat 54
Mereka merancang dan Allah juga merancang; dan Allah adalah sebaik-baik Perancang.”
Justeru, kami memperingatkan kerajaan Malaysia bahawa tindakan zalim memfitnah dan menyekat ajaran Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya, bakal menyaksikan kutukan dan laknat Tuhan menimpa kamu.
Doa dari rakyat Malaysia yang dinafikan hak asasi mereka terutamanya dalam aspek kebebasan beragama adalah doa dari mereka yang dizalimi, dan doa orang yang dizalimi tiada hijab di sisi Tuhan.
Wahai Kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri di Malaysia, yang menghalang rakyat dari mengkaji kebenaran risalah dakwah kami dan menghalang mereka dari membai’ah dan sujud kepada para pemerintah yang diwasiatkan Nabi Muhammad SAWAS atas perintah Allah SWT, bertaubatlah dari terus menjadi kakitangan dan alat Iblis, yang menyebarkan fatwa Iblis, agar menolak Ketuanan Allah di muka bumi.
Kepada semua yang menyaksikan dan mendengar ucapan ini, sila beranikan diri dan berikan peluang yang adil kepada diri anda untuk mengkaji segala pembuktian risalah dakwah kami kerana kami adalah satu-satunya gerakan di zaman ini yang memperjuangkan dan menjulang apa yang telah diperjuangkan oleh semua para Nabi dan Rasul sejak dari Adam a.s, Ketuanan Allah SWT iaitu hanya Allah SWT saja berhak melantik pemimpin ke atas manusia.
Wassalam wr wb
Labbayka Ya Aba Al Sadiq !! X 3
Ulasan
Catat Ulasan